Oleh Abdul Hakim Tanzimuddin dan Nurul Huda Hassan
PULAU PINANG 7 Jan. - Pihak pengurusan universiti tempatan disaran tidak terlalu cepat menaikkan pangkat kakitangan akademik yang menyerlah dalam kerjaya, sebaliknya memberi mereka peluang untuk menjalankan penyelidikan.
Penerima Anugerah Merdeka 2008, Profesor Datuk Dr. Khalid Kadir berkata, golongan itu perlu digalakkan untuk terus membuat penyelidikan secara mendalam bagi satu tempoh yang lama dengan disediakan kemudahan dan dana secukupnya.
Katanya, dalam fenomena semasa, segelintir individu yang menyerlah di universiti didapati akan segera dinaikkan pangkat dan dibebankan dengan pelbagai tugasan pengurusan.
''Biarkan mereka untuk terus menjadi pengkaji yang hebat dan kenaikan pangkat perlu diberi berdasarkan kehebatan penyelidikan yang dihasilkan.
''Hasil kajian pula mesti layak diterbitkan dengan tujuan mengelakkan pengkaji mudah putus asa apabila kajian dikritik," katanya pada sesi dialog selepas menyampaikan siri syarahan Anugerah Merdeka di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah USM, Tan Sri Ani Arope; Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Rektor Universiti Teknologi Petronas, Datuk Dr. Zainal Abidin Kassim dan Pengarah Eksekutif Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd.
Dr. Khalid menjawab soalan yang diajukan Dzulkifli mengenai pendapat beliau tentang bagaimana pentadbiran universiti di negara ini perlu beroperasi dan diuruskan.
Beliau merupakan penerima anugerah bersama bagi kategori kesihatan, sains dan teknologi bersama kumpulan pengkaji virus Nipah dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dengan masing-masing telah memberikan sumbangan ulung kepada sektor kesihatan dan perubatan negara.
Pemilihannya dibuat berdasarkan kajian beliau sejak 30 tahun lalu mengenai mekanisme badan berkaitan masalah hormon yang disebabkan oleh tekanan dan penyakit kencing manis.
Profesor Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan, Monash University Malaysia itu juga diiktiraf atas sumbangannya sebagai perintis latihan endokrinologi di negara ini sekali gus menjadi inspirasi kepada pakar perubatan muda untuk menceburi bidang tersebut.
Beliau turut diiktiraf sebagai pakar yang banyak menyumbang kertas kerja dan artikel mengenai penyakit diabetis dan cara menguruskannya, selain turut menyertai pelbagai ujian rawak double-blind antarabangsa untuk penyakit tersebut.
Anugerah Merdeka diperkenalkan buat julung kali oleh Petronas dengan kerjasama dua konglomerat minyak dan gas iaitu ExxonMobil dan Shell pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Dr. Khalid berkata, pada masa ini, ramai ahli akademik yang berbakat dalam bidang penyelidikan tidak dapat memberi tumpuan kerana dibebankan dengan tugas pengurusan ekoran dinaikkan pangkat terlalu cepat.
''Universiti di negara ini perlu berasaskan penyelidikan sekali gus hasil kajian yang diperoleh perlu diterbitkan dan tidak dibuang atau dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang pengiktirafan.
''Tidak dinafikan universiti di negara ini juga banyak melahirkan individu-individu yang kini menerajui pelbagai agensi kerajaan, ini membuktikan kita setanding dengan negara lain," jelasnya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar