DI Britain, 25 Disember adalah hari Krismas sementara 26 Disember juga hari cuti yang mana kebanyakan pasar raya-pasar raya membuat jualan murah yang dianggap luar biasa. Seperti mana manusia sedunia tahu, apabila Krismas menjelang, wajah Santa Claus yang berbaju merah dan berambut putih panjang muncul di mana- mana.
Filem dan berbagai rancangan media akan mempromosikan Santa Claus dan kehadirannya pada hari Krismas. Walaupun sebahagian rancangan TV di sini mempersendakan Santa Claus. Bahkan mereka juga sering mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan dengan berbagai lawak jenaka yang amat tidak wajar untuk dikenakan kepada tokoh biasa, apatah lagi yang insan yang mereka anggap tuhan.
Namun, bagitulah jadinya nilai agama pada mereka. Santa Claus sebenarnya satu watak yang tidak pernah wujud dalam nas-nas agama Kristian sama ada yang telah diubah, apatah lagi yang asal. Bible sama sekali tidak pernah menyebut tentang kemunculan ‘watak Santa Claus’.
Ia hakikatnya adalah benar-benar khurafat dan bidaah yang telah palitkan kepada agama mereka sehingga ia akhirnya muncul menjadi perlambangan agama yang diterima umum dan sukar untuk dikikis lagi. Ia lebih teruk dari kepercayaan sesetengah masyarakat kita yang menyalakan lampu pada malam tujuh likur atau kepercayaan bahawa pada bulan Muharam digalakkan membuat bubur bagi mencontohi Nabi Noh a.s. Cerita Santa Claus lebih menonjol daripada faktor sebenar orang-orang Kristian menyambut Krismas.
Maka tidak hairanlah pada kita mengapakah Nabi SAW sering mengingatkan agar jangan mengada-adakan perkara yang baru atau bidaah yang dipalitkan menjadi agama. Tempelan baru yang dibuat atas nama agama jika dibiarkan akan menjadi kepercayaan yang akan mengambil tempat agama yang sebenar. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya sebaik-baik bicara adalah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat (Riwayat Muslim).
Al-Imam al-Syatibi (meninggal 911H) ketika mentakrifkan maksud bidaah menyebut: Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. (al-Syatibi, al-I’tisam, m.s 27, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Ertinya manusia boleh berinovasi dalam berbagai perkara, tetapi cara cuba mengadakan kepercayaan atau upacara agama yang tidak bersumberkan wahyu sehingga itu dianggap agama. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah.
Penyelewengan
Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari mainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar adalah dalam urusan dunia.
Ia sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak, pecah masyarakat mereka maka perkara tetap bagi mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru.
Slogan mereka: Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun. Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bidaah dalam berbagai bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah” (al- Qaradawi, Al-‘Ibadah fi al-Islam, m.s 170, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Istimewanya Islam dibandingkan ajaran lain, dalam Islam kita masih mempunyai sumber rujukan tertinggi iaitu al-Quran dan al-Sunnah untuk mengukur sejauh manakah pendapat golongan agamawan ataupun tokoh itu kukuh ataupun lemah.
Kita disuruh menghormati tokoh ilmuan, apatah lagi ilmuan Islam atau yang kita bahasakan sebagai ulama. Namun penghormatan kita kepada mereka tidaklah sama sekali bererti kita tidak boleh memberikan pandangan yang berbeza atas asas-asas ilmu atau penghujahan yang berteraskan fakta dan angka.
Umpamanya, ketokohan al-Imam al-Ghazali dihormati, namun kritikan tetap diberikan oleh para ulama terhadapnya. Kritikan bukanlah menunjukkan jasanya dilupakan. Antaranya, al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 748H) yang menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”. Lalu al-Imam al-Zahabi memberikan kritikan ilmiah terhadap Kitab Ihya Ulumuddin karangan al-Imam al-Ghazali, katanya: “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?
Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala 19/339, Beirut: Muassasah al-Risalah, Beirut) Begitu juga ilmuan tafsir yang terkenal al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) memberikan kritikan ilmiah terhadap karangan al-Imam al-Ghazali dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: “Ketika berada di Damsyik dan Baitul Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya ‘Ulumuddin, ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadis yang gharib, munkar, dan palsu”. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).
Demikian ramai ilmuan lain dalam sejarah islam ini menerima berbagai kritikan dan perkara itu bukanlah ganjil. Saya sebutkan contoh ini bagi menggambarkan bahawa tidak pernah kemaksuman itu diberikan dalam Islam kepada sesiapa pun selain Allah dan rasul-Nya. Inilah jalan untuk menjamin agar ilmu sentiasa mengatasi tokoh atau institusi.
Dengan itu agama yang tulen akan terpelihara. Namun, dalam mengkritik dijaga adab dan bersikap adil. Bukanlah seperti sesetengah laman web kelompok agama atau politik agama yang mengharamkan orang lain mengkritik pimpinan mereka dan menjadikan maki-hamun itu halal bagi mereka dalam menghadapi golongan yang mereka tidak setujui.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah
bekas mufti perlis dan sekarang pensyarah
pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain.
BACA SELENGKAPNYA....!!
Tampilkan postingan dengan label islam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label islam. Tampilkan semua postingan
PADA 29 Mac lalu, saya menonton satu program di televisyen tempatan semasa menunggu giliran bertemu doktor di sebuah klinik swasta. Tajuk perbincangan yang saya kira amat menarik ialah Memadukan Dua Bersaudara.
Yang menarik dan mengejutkan, betapa ramai orang tidak mengetahui bahawa perbuatan memadukan dua bersaudara itu adalah haram.
Barangkali isu ini tidak timbul kerana masyarakat merasakan ia tidak berlaku atau kemungkinan ia berlaku adalah tipis. Namun ia telah dan tetap berlaku, maka ia perlu dijelaskan.
Merujuk surah al-Nisa' ayat 23, selain daripada dua beradik ini, haram juga hukumnya memadukan anak saudara dengan ibu saudaranya. Maksudnya di sini, jika A telah berkahwin dengan B, kemudian A berkahwin pula dengan C, ibu saudara B iaitu adik kepada emak B atau ayah B.
Dalam riwayat Tirmidzi ada disebut: "Janganlah seseorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan ibu saudaranya dan janganlah ibu saudara sebelah bapa berkahwin ke atas perkahwinan anak perempuan kepada saudaranya, janganlah seorang perempuan berkahwin di atas perkahwinan emak saudaranya sebelah ibunya, janganlah emak saudara sebelah ibunya berkahwin di atas perkahwinan anak perempuan saudaranya. Janganlah kakak berkahwin di atas perkahwinan adiknya dan janganlah adik berkahwin di atas perkahwinan kakaknya."
Yang jelas bukan sahaja memadukan dua beradik perempuan itu haram, tetapi memadukan anak saudara dengan ibu saudaranya sebelah ibu atau ayah juga haram. Ini kerana poligami itu sendiri jika dilaksanakan di kalangan orang yang tidak bersaudara menimbulkan pelbagai perbalahan dan sengketa, maka jika ia dibuat antara dua beradik, maka akan putuslah tali silaturahim.
Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Hibban: "Bahawa jika kamu melakukan yang demikian itu (memadukan dua bersaudara atau ibu saudara dengan anak saudara) kamu telah memutuskan tali kasih sayang sesama kamu."
Ini adalah tegahan yang sememangnya telah wujud kerana Rasulullah SAW tahu bahawa poligami boleh menimbulkan sengketa dan perbalahan.
Dari sudut hukum jika perkahwinan telah berlaku:
l Jika seorang lelaki menikahi dua perempuan bersaudara dalam satu akad, kedua-dua pernikahan itu fasik tetapi tidak batal. Pasangan perlu dipisahkan dan jika mereka dipisahkan sebelum persetubuhan berlaku, maka kedua-duanya tidak mendapat apa-apa dan tiada iddah. Jika telah berlaku persetubuhan, menurut Hanafi, setiap seorang berhak kepada mahar mithli dengan syarat tidak melebihi mahar musamma dan keduanya perlu beriddah.
l Jika seorang lelaki menikahi A dahulu dan kemudian menikahi adik A iaitu B kemudian, maka dari segi hukum, pernikahan pertama sah dan yang kedua fasik. Isteri kedua tidak dapat apa-apa sekiranya belum berlaku persetubuhan. Jika telah berlaku persetubuhan maka, perlu membayar mahar mithli yang tidak melebih mahar musamma dan isteri kedua wajib beriddah. Ini adalah hubungan subhah atau kesamaran. Suami tidak boleh bersetubuh dengan isteri pertamanya sehingga isteri kedua selesai beriddah.
l Perlu diingat jika suami menceraikan isteri pertamanya dengan talak yang boleh rujuk, maka dia hanya boleh berkahwin dengan adik bekas isterinya selepas tamat iddah bekas isterinya.
Jika dilihat fakta di atas, wujudnya hukum kerana kebarangkalian perkara seperti ini berlaku ada. Ia memang ada dan memang berlaku.
Lantaran itu, dalam Islam adalah amat penting menjaga perlakuan dan bergaulan walaupun hubungan adik-beradik dan ipar.
Jika sumbang mahram boleh berlaku seperti abang menjalin hubungan dengan adik perempuan kerana pergaulan adik-beradik yang tidak berlandaskan hukum, maka tidak mustahil seorang abang ipar jatuh cinta dengan adik isterinya sendiri.
Sebagai manusia kelemahan kita adalah nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan.
Apalah ada pada cinta jika semuanya berlandaskan nafsu yang menyesatkan. Jika poligami hanya boleh berlaku jika masih ada wanita yang sanggup merampas kebahagiaan seorang wanita lain, maka memadukan dua beradik hanya boleh berlaku kerana hasutan syaitan yang menyebabkan seorang adik tergamak merampas suami kakaknya atau anak saudara merampas suami ibu saudaranya.
Ia bukan saja akan melukakan hati saudara kandung sendiri tetapi merosakkan hubungan kekeluargaan. Seorang ibu tentunya sangat sukar membuat pilihan antara dua orang anak perempuannya apabila kedua-duanya menyintai lelaki yang sama.
Semoga dua kisah benar yang saya ketengahkan dalam artikel ini dapat menjadi teladan kepada kita semua.
BACA SELENGKAPNYA....!!
Langganan:
Postingan (Atom)

